COMANGO Pertubuhan Haram - KDN

By 21:33


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) adalah sebuah pertubuhan haram.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mohamad Khalid Shariff dalam satu kenyataan berkata ia adalah berdasarkan rekod yang disemak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). 

"Ia adalah sebuah pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). 

"Daripada 54 pertubuhan yang menganggotai pertubuhan itu, hanya 15 sahaja yang berdaftar dengan jabatan itu," katanya hari ini.

Katanya, pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah perlu berdaftar dengan JPP seperti ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

"Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 tersebut boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41(1)(b)," katanya.

Mohamad Khalid berkata kebanyakan anggota gabungan itu terdiri daripada pertubuhan bukan berasaskan Islam. 
"Comango merupakan pertubuhan yang memperjuangkan hak yang menyeleweng daripada agama Islam dan NGO Malaysia itu telah menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan Semakan Berkala Sejagat di Geneva setiap empat tahun, katanya.

Comango yang merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia antara lain menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex dan queerperson (LGBTIQ).

Mohamad Khalid berkata 15 pertubuhan yang telah berdaftar terdiri daripada Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Education and Research Association for Consumers Malaysia (Era Consumer), All Petaling Jaya Selangor Residents Association (Apac), All Women's Action Society Kuala Lumpur and Selangor (Awam) dan Association of Women with Disabilities Malaysia.

Coalition to Abolish Modern Day Slavery in Asia (Camsa), Society for Rights of Indigenous People of Sarawak (SCRIPS), Good Shepherd Welfare Centre, Malaysian Physicians for Social Responsibility dan Persatuan Masyarakat Selangor dan Kuala Lumpur (Permas).

Perak Women for Women Society, Sahabat Wanita Selangor, Sabah Women's Action-Resource Group (Sawo), Women's Aid Organisation Malaysia (WAO) dan Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall.

Katanya selebihnya didapati tidak berdaftar termasuk Amnesty International Malaysia, Centre For Independent Journalism (CIJ), Christian Federation Malaysia, Pusat Komunikasi Selangor (Komas), Persatuan Guru-Guru Tadika Semenanjung Malaysia (PGGT), Childline Malaysia dan Foreign Spouses Support Group. 

Sementara itu, Jurucakap COMANGO, Honey Tan Lay Ean ketika dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

You Might Also Like

0 comments